Tuesday 31 March 2015

Teori peluru berpandu Rusia jadi fokus

Saksi nahas MH17 diminta tampil, teori peluru berpandu Rusia jadi fokus
Pihak pendakwa Belanda meminta saksi di timur Ukraine yang melihat roket BUK buatan Rusia ditembak ke arah pesawat penerbangan MH17.
AMSTERDAM: Pihak pendakwa Belanda meminta saksi di timur Ukraine yang melihat roket BUK buatan Rusia ditembak ke arah pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17 agar tampil untuk memberi maklumat.

Mereka berkata ini ialah "senario utama" dalam siasatan kemalangan tersebut, lapor Reuters.

Pihak Belanda mengetuai satu siasatan antarabangsa ke atas nahas yang berlaku pada 17 Julai tahun lepas yang mengorbankan 298 penumpang serta anak kapal, di mana dua pertiga daripada mereka ialah warga Belanda.

Kerajaan Barat dan Kiev, memetik sumber risikan, berulang kali menyalahkan pemberontak pro-Rusia.

Moscow menafikan perkara ini dan mendakwa pesawat malang itu dibedil peluru berpandu yang ditembak oleh seorang pejuang Ukraine.

Pendakwa berkata mereka mendapat "gambaran lebih jelas" tentang teori peluru berpandu BUK - satu daripada empat senario awal yang disiasat.

Mereka tidak memberikan butiran lanjut.

"Masih ada lebih daripada satu senario, tetapi senario melibatkan roket BUK mempunyai banyak persoalan yang belum terjawab dan itulah sebabnya kami mengemukakan rayuan," kata Wim de Bruin, jurucakap pendakwaan.

"Senario BUK adalah senario utama."



Pasukan penyiasatan sedang mencari "saksi yang boleh bercakap tentang pengangkutan, kru dan bedilan sistem peluru berpandu BUK di rantau ini dari Donbass di timur Ukraine," kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pendakwa.

"Rayuan saksi ini tidak bermakna polis dan pihak pendakwa telah secara muktamad menyimpulkan apa yang menyebabkan nahas MH17," kata kenyataan itu.

"Untuk itu, lebih banyak siasatan perlu dilakukan."

Video rayuan itu, memaparkan imej sistem senjata BUK di atas trak dan rakaman audio perbualan antara pemisah pro-Rusia yang dipintas, disiarkan di televisyen dan radio dan diedarkan di laman web dan media sosial.

Saksi-saksi telah dipanggil untuk memberi maklumat kepada badan siasatan antarabangsa, termasuk pegawai dari Belgium, Ukraine, Australia dan Malaysia.

Sumber : http://www.astroawani.com/berita-dunia/saksi-nahas-mh17-diminta-tampil-teori-peluru-berpandu-rusia-jadi-fokus-56784

No comments:

Post a Comment